Friday, May 27, 2011

Vidic waspada

MANCHESTER: Nemanja Vidic bimbang Manchester United akan patah hati sekiranya mereka semakin obses menggugat kehebatan Lionel Messi pada saingan penentuan menentang Barcelona di Wembley, awal pagi esok.

Walaupun Vidic kapten pasukan United yang baru saja melakar kejayaan ke-19 liga Inggeris, dia bersikap realistik apabila menyedari pasukannya bakal berdepan juara Sepanyol yang gah dipimpin, Pep Guardiola.

Messi menyumbang gol kemenangan Barcelona ketika menewaskan United, 2-0 pada final Liga Juara-juara 2009 di Rome dan semakin kukuh mendominasi sukan bola sepak. Namun tumpuan Vidic tidak hanya tertumpu kepada pemain licik dari Argentina itu saja.

“Messi adalah pemain yang hebat dan sukar dikawal. Tetapi saya tidak memandang remeh saingan pemain lain seperti Xavi dan Andres Iniesta, mereka juga tidak kurang hebat dan mampu mencorak perlawanan.

“Perlawanan ini bukan hanya mengenai seorang pemain, sebaliknya menghalang Barcelona bergerak sebagai satu pasukan,” kata Vidic.

Vidic masih mengingati Carles Puyol menjulang trofi kemenangan Liga Juara-juara untuk kelab itu dua tahun lalu dan berkata, gambaran itu menjadi pembakar semangat untuknya berdepan lawan di Wembley.

“Jika layak ke final dengan reputasi begitu gah dan kemudian kecundang, pastinya itu tidak menggembirakan,” kata bekas pemain Spartak Moscow itu. - Reuters

No comments:

Post a Comment