Perkembangan sejarah awal Negeri Kedah dan lain-lain negeri di Semenanjung Malaysia
adalah disebabkan oleh kedudukan ilmu alamnya yang begitu strategik di
rantau ini. Dipandang dari sudut prasejarah, sekurang-kurangnya
Semenanjung Malaysia disifatkan sebagai jambatan atau landasan yang
dilalui oleh manusia di dalam proses migrasi dari utara ke selatan dan
seterusnya ke kepulauan Asia Tenggara dan Pasifik.
Kemudian tatkala perdagangan maritim berkembang dengan pesatnya,
Semenanjung ini telah memainkan peranan yang penting sekali kerana
kedudukannya di pertengahan antara dua pusat perdagangan yang besar di
masa itu iaitu India dan negara-negara Arab di sebelah barat dan Negeri China
di sebelah timur. Di kala pelayaran laut hanya bergantung kepada tiupan
angin monsun, dan sementara menunggu pertukaran haluan tiupan angin
tersebut, Semenanjung Malaysia telah dijadikan bukan sahaja tempat
berteduh tetapi juga sebagai tempat untuk membuat pertukaran dagangan
mereka.
Dilihat dari sudut yang tersebut di atas, kita dapati Negeri Kedah
mempunyai beberapa keistimewaan yang tersendiri yang secara tidak
langsung telah menghasilkan keunikan perkembangan sejarah yang
dilaluinya. Gua-gua batu kapur yang merupakan tempat tinggal atau tempat
persinggahan masyarakat zaman prasejarah banyak terdapat di
daerah-daerah Kubang Pasu, Kota Star dan Baling.
Apa yang lebih menarik ialah terdapatnya sebuah gunung yang tersergam
indah di persisiran pantai yang dipercayai telah menjadi landmark kepada
pelayar-pelayar yang melalui Lautan Hindi
di zaman yang silam. Di samping itu, Negeri Kedah juga boleh dihubungi
melalui jalan darat dengan negeri-negeri di pantai timur Semenanjung
Malaysia tanpa menghadapi kesulitan (Wheatley 1961 : xxvi ; Braddle 1980
).
Keseluruhan faktor-faktor yang tersebut di atas dengan sendirinya
menunjukkan keagungan sejarah yang telah dilalui oleh Kedah khasnya dan
Semenanjung Malaysia amnya.
Pada masa kejayaan Srivijaya, negeri ini telah dipilih sebagai ibu negeri iaitu sejak masa Sri Mara Vijayatunggavarman berdasarkan pahatan pada Larger Layden Plates sampai pada masa Sri Sangrama Vijayatunggavarman yang kemudian ditawan oleh Rajendra Chola I seperti yang disebut pada batu bersurat Tanjore.[1]
Mengikut Hikayat Merong MahaWangsa, negeri Kedah telah diasaskan oleh Merong Maha Wangsa dengan gelaran Sultan Muzaffar Shah.
No comments:
Post a Comment