KUALA LUMPUR 4 Jun - Golongan peniaga online yang enggan mendaftarkan
perniagaan mereka dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) akan
berdepan dengan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak
melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Menteri Perdagangan
Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek
berkata, hukuman selaras dengan Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 itu
adalah bagi melindungi hak pengguna serta membendung aktiviti yang
cenderung ke arah penipuan.
Kata beliau, penguatkuasaan tersebut juga dilihat dapat memanfaatkan
golongan peniaga terutama apabila pengguna berasa yakin terhadap produk
yang dibeli serta transaksi jual beli melalui online yang akan
dilaksanakan.
Sehubungan itu, tegasnya, kementerian tidak akan
berkompromi dalam menjalankan penguatkuasaan terhadap golongan peniaga
tidak berdaftar kerana tempoh untuk memberi amaran sudah lama berlalu.
“Perkara itu bagi memastikan kita dapat membantu melindungi pengguna
dan peniaga. Kita buat ini bertujuan mempertingkatkan kepercayaan
pengguna terhadap transaksi jual beli melalui online.
“Ini kerana
kerisauan utama yang membendung pengguna adalah soal keselamatan
sewaktu membuat transaksi jual beli melalui online.
“Kalau
peniaga online tiada rujukan atau pendaftaran syarikat, kalau ada
apa-apa berlaku nanti, susah untuk kita mengambil tindakan,” katanya
kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran SSM-ONE 2015 di
sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita,
Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan Ketua Pegawai
Eksekutif SSM, Zahrah Abd. Wahad Fenner.
Mengulas lanjut, Hasan
berkata, pengguna juga perlu memainkan peranan mereka dengan memberi
maklumat terhadap sebarang perniagaan online tidak berdaftar kepada
pihak SSM dan pihak bertanggungjawab untuk diambil tindakan.
“Kita mahu pengguna menjadi aktif dan peka dalam masalah ini dengan
menyuarakan sebarang aduan untuk diuar-uarkan supaya mudah kita ambil
tindakan. SSM ada jentera khas untuk memantau dan menjawab aduan-aduan
ini tetapi kita cuma perlu suara daripada pengguna itu sendiri.
“Aduan boleh dibuat melalui telefon, secara online, e-adu. Janji saya,
buat aduan kepada kita dan kita akan turun siasat dan kita akan ambil
tindakan,” katanya.
Dalam pada itu, Zahrah memberitahu, setakat
ini peniaga yang telah mendaftarkan perniagaan online adalah sebanyak
1,212 bagi tempoh lima bulan iaitu Januari hingga Mei lalu dan
dijangkakan peningkatan sebanyak 100 peratus pada tahun ini.
No comments:
Post a Comment