TUMPUAN utama Radhi Mat Din yang mengambil alih tugas selaku jurulatih sementara pasukan Hijau Kuning daripada Ahmad Yusoff adalah menyediakan pemainnya dari segi mental ketika berdepan Terengganu di Stadium Darulaman, malam ini.
Menurutnya, status beberapa pemainnya sebagai pemain kebangsaan tidak mencukupi ketika berdepan lawan itu kerana perlu bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi mereka.
“Saya tidak mempunyai masa untuk melakukan perubahan drastik terhadap kesebelasan utama untuk perlawanan esok (malam ini) ketika bertemu Terengganu.
“Cuma apa yang mampu saya lakukan adalah cuba menyematkan ketahanan mental pemain dengan mengembalikan keyakinan diri sendiri.
“Ketika ini kami memiliki barisan pemain yang berupaya menandingi mana-mana pasukan dalam Liga Malaysia, tapi kelemahan mental dan kurang yakin terhadap kemampuan diri sendiri menjadi punca kekecewaan yang terpaksa kami hadapi sekarang,” kata Radhi.
Katanya, ribuan penyokong setia pasukan Hijau Kuning perlu memainkan peranan penting dengan memberi sokongan tidak berbelah bahagi bagi membakar semangat dan mengembalikan keyakinan barisan pemain.
“Saya minta kesemua penyokong setia Kedah supaya membakar semangat pemain dan bukannya memaki atau mengejek mereka kerana ia pasti akan melemahkan semangat serta membuka ruang untuk lawan mengambil kesempatan.
“Saya sudah bertemu semua pemain dan mereka simpati atas apa berlaku terhadap Ahmad. Tapi, pada masa sama, mereka juga berjanji akan bangkit ketika menentang Terengganu,” katanya.
No comments:
Post a Comment