ALOR SETAR: Seorang warga emas kini hanya mempunyai kad pengenalan, lesen memandu dan kad mesin juruwang automatik (ATM) apabila rumah pusaka dua tingkat yang didiami keluarganya musnah dalam kebakaran di Kampung Seberang Pumpong, dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.15 petang itu, mangsa, Shafie Md Darus, 72, dikatakan baru sahaja pulang ke rumah selepas menunaikan solat Asar di sebuah masjid berhampiran lalu duduk berehat di atas buaian.
Shafie berkata, dia kebetulan berada di luar rumah sebelum tiba-tiba ternampak kepulan asap tebal dari dapur lalu mengarahkan isterinya, Doyah Ismail, 62, menyelamatkan diri dengan keluar melalui pintu belakang.
Menurutnya, pada masa sama, dia pergi ke rumah jiran bagi mendapatkan bantuan termasuk meminta menghubungi bomba.
“Api marak dengan cepat menjilat bahagian papan rumah dua tingkat berusia hampir 40 tahun ini tanpa saya sempat berbuat apa-apa termasuk menyelamatkan barangan seperti pakaian dan dokumen penting.
“Sebuah basikal dan motosikal turut musnah, bagaimanapun kereta Proton Wira milik anak lelaki, Kamarul Adnan, 40, yang keluar ke tempat kerja sempat dibawa keluar oleh jiran,” katanya, di sini.
Menurutnya, dia bernasib baik kerana masih mempunyai kad pengenalan, lesen memandu dan kad ATM yang dibawa bersama ke mana-mana kerana semua dokumen penting lain musnah dalam kebakaran itu.
Katanya, setakat ini, dia tidak mengetahui jumlah kerugian yang dialami berikutan rumahnya musnah sama sekali.
Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II Abd Rashid Mahmud, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 5.31 petang sebelum tiga jentera dari Balai Bomba Alor Setar dikejarkan ke tempat kejadian.
Menurutnya, sebaik tiba pihaknya mendapati api marak membakar bahagian kayu rumah dua tingkat berkenaan sebelum berjaya mengawal kebakaran dalam tempoh 10 minit.
“Setakat ini, pihak bomba masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti jumlah kerugian dan punca kebakaran,” katanya.
No comments:
Post a Comment