Monday, April 11, 2011

Kedah tak mahu pulang tangan kosong

SIAPAKAH yang akan meraih kemenangan apabila anak buah Radhi Mat Din yang membimbing Kedah menentang skuad Negeri Sembilan kendalian Azraai Khor Abdullah pada perlawanan Liga Super malam ini di Stadium Paroi?

Radhi seperti yang sudah sedia maklum bukan saja menjadi pembantu kepada Azraai sejak 2005, malah dia juga pernah menjadi pemain ketika Azraai menjadi pembantu kepada Robert Alberts sebagai jurulatih pasukan Hijau Kuning yang berjaya meraih kejuaraan berganda pada 1993.

Walau apa sekalipun percaturan Radhi dan Azraai, penjaring gol tunggal ketika Kedah menewaskan Perlis, Badrul Bakhtiar berazam mahu memastikan pasukannya tidak pulang dari Paroi dengan tangan hampa.

“Saya mengetahui Kedah ketika ini tidak berada pada prestasi sebenar tetapi bermula esok (malam ini), kami bertekad untuk meningkatkan permainan.

“Ketika ini tahap persefahaman antara pemain masih tidak baik tetapi apapun, kami akan berusaha menewaskan Negeri Sembilan yang juga berdepan waktu sukar selepas tewas kepada Johor FC pada perlawanan terakhir mereka,” katanya.

No comments:

Post a Comment