Saturday, March 12, 2011

Karnival Belia Peringkat Negeri Kedah 13-14 Mei di Stadium Darul Aman

ALOR SETAR, 9 Mac – Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah akan menganjurkan Karnival Belia Peringkat Negeri Kedah di Pekarangan Stadium Darul Aman, di sini pada 13 hingga 14 Mei 2011.

Pengarahnya, Haji Aziz Haji Hamid berkata, pelbagai aktiviti menarik diadakan bersempena karnival itu seperti sukan bermotor, futsal, bola jaring, gerai jualan serta bengkel usahawan.

“Bagi mereka yang mengunjungi karnival itu, bolehlah mendapatkan maklumat mengenai bidang usahawan dan bengkel kerjaya untuk melanjutkan pengajian ke institut pengajian tinggi (IPT) dalam dan luar negara,” ujarnya di sini.

Menurutnya, pihaknya juga turut mengadakan ceramah motivasi kepada semua belia di samping Forum Perdana yang diadakan pada 13 Mei, pukul 9 malam.

Aziz memberitahu, bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai karnival itu, bolehlah menghubungi Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah di talian 04-7353160.

Dalam pada itu, katanya, pihaknya juga turut menubuhkan sebanyak 600 persatuan belia di negeri ini dan penubuhan persatuan itu diharap dapat membantu belia-belia untuk menyertai pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh persatuan-persatuan bagi mengelak golongan belia daripada terlibat dalam gejala kurang sihat.

Rabu, 09 Mac 2011 16:26 Ditulis oleh WADIASSOFI JAAFAR DR WARTA KEDAH

No comments:

Post a Comment