Wednesday, March 16, 2011

Kedah beri tanah kepada pemain Piala Suzuki

PERSATUAN Bola Sepak Kedah (KFA), semalam mengumumkan kerajaan negeri memutuskan menganugerahkan tanah seluas dua hektar di Pokok Sena kepada lima pemain negeri yang mengharumkan nama negara menjuarai Piala Suzuki 2010, Disember lalu.

Presidennya, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata kelima pemain berkenaan akan berkongsi plot tanah berkenaan sebagai penghargaan kepada keringat dan sumbangan besar kepada skuad Harimau Malaya. “Ia satu insentif daripada kerajaan negeri dan ia diberikan percuma kepada pemain,” katanya yang juga Menteri Besar Kedah. Lima pemain terbabit adalah Mohd Khyril Muhymeen Zambri, Khairul Helmi Johari, Mohd Sabre Mat Abu, Mohammad Faizal Abu Bakar dan Amar Rohidan.

Dalam perkembangan lain, KFA akan mengkaji cadangan semua pihak untuk memantapkan persembahan pasukan, termasuk keperluan untuk menggugurkan khidmat Datuk Khazali Din selaku pengurus pasukan Kenari.

“Perkara ini perlu diperhalusi kerana kita tidak mahu keputusan dibuat itu salah. Malah, difahamkan Khazali juga pernah menyatakan hasrat sama (meletakkan jawatan),” katanya.

No comments:

Post a Comment