Friday, May 27, 2011

Pemikir

1. Mula mencipta nama di Aberdeen dengan menamatkan penguasaan Old Firm selama 14 tahun untuk meraih gelaran liga Scotland pada 1980.

2. Menjuarai gelaran Eropah tiga tahun kemudian apabila pasukan Dons menewaskan Real Madrid untuk menjulang Piala Pemenang Piala.

3. Menggantikan pengurus Old Trafford, Ron Atkinson pada November 1986, dan menamat�kan penantian United selama 26 tahun untuk gelaran liga pada 1993.

4. Selepas itu, beliau turut menambah 11 lagi kejuaraan termasuk rekod kemenangan ke-19 Red Devils pada edisi 2010/11 selain turut menjulang lima Piala FA dan empat Piala Liga.

5. Biarpun membantu United memenangi Piala Pemenang Piala ke atas Barcelona pada 1991, pencapaian terhebat beliau adalah membawa United ke mercu kejayaan Liga Juara-Juara pada 1999 dan 2008.

6. Dianugerahkan gelaran Knight pada 1999 dengan gelaran Sir, Alex turut mengetuai panel jurulatih Uefa.

Alex Ferguson

Tarikh lahir: 31 Disember 1941
Asal: Scotland
Kelab: Manchester United (England)
Kempen terkini: Liga Juara-Juara 2010/11
Penampilan pertama Kejohanan Uefa: Piala Pemenang Piala (pusingan pertama)
13 September 1978: Marek 3-2 Aberdeen

Karier (pemain): Queen’s Park, Saint Johnstone, Dunfermline Athletic, Rangers, Falkirk (pemain-jurulatih), Ayr United.
Karier (jurulatih): East Stirlingshire, Saint Mirren, Aberdeen, Manchester United

1. Dikenali sebagai Pep, beliau menyertai skuad remaja Barcelona dan memenangi enam gelaran Liga Sepanyol, satu Piala Juara Kelab Eropah, Piala Pemenang Piala dan dua Copa del Rey dari 1990 hingga 2001.

2. Beliau juga pernah menyertai Brescia, Roma yang ketika itu dikendalikan Fabio Capello, Al-Ahly di Doha dan kelab Mexico, Dorados de Sinola sebelum menamatkan kariernya sebagai pemain pada 2006.

3. Mewakili negara sebanyak 40 kali dan memenangi pingat emas Olimpik dalam acara bola sepak bersama Sepanyol pada 1992 tetapi tidak beraksi ketika Piala Dunia 1998 dan 2002 disebabkan kecederaan.

4.Pernah mengendalikan skuad Barcelona B, beliau menjadi pengurus pasukan senior ke-15 dari kelab Catalan pada 2008 dan menjuarai Liga Juara-Juara, Liga Sepanyol dan Copa del Rey pada musim pertamanya.

5 Kejayaan di final musim 2008/09 menjadikan Guardiola sebagai individu keenam menjulang Piala Eropah sebagai jurulatih dan pemain.

6.. Barcelona terus melakar kemenangan dalam Liga Sepanyol dan Piala Super pada awal musim 2009/10, kemudiannya menjuarai Piala Dunia Kelab Fifa dan mengekalkan gelaran liga. Beliau turut membantu Azulgrana meraih gelaran ketiga berturut-turut pada musim 2010/11.

Josep Guardiola

Tarikh lahir: 18 Januari 1971
Asal: Sepanyol
Kelab: Barcelona (Sepanyol)
Kempen terkini: Liga Juara-Juara 2010/11
Penampilan sulung kejohanan Uefa: Liga Juara-Juara (pusingan ketiga kelayakan) 13 Ogos 2008: Barcelona 4-0 Wisla Krakow

Karier (pemain): Barcelona, Brescia Calcio (dua kali), AS Roma, Kelab Al-Ahly, Dorados de Sinaloa
Karier (jurulatih): Barcelona B, Barcelona

Penggempur perkasa

1. Dilahirkan di Rosario, Argentina, bakat istimewa Lionel Messi dikesan seawal usia muda oleh Barcelona yang membawanya ke Sepa�nyol dan menerima rawatan khusus bagi mengatasi masalah kekurangan hormon tumbesaran.

2. Dibesarkan di akademi Barca, Messi menjadi pemain paling muda muncul di liga, pada usia 17 tahun 114 hari ketika beraksi menentang Espanyol pada 16 Oktober 2004.

3. Dia menjuarai gelaran berganda Liga dan Liga Juara-Juara pada musim 2005/06 tetapi jarang diturunkan sehinggalah pada musim berikutnya ketika namanya meraih perhatian dengan jaringan hatrik dalam perlawanan El Clasico menentang Real Madrid (3-3).

4. Messi menjuarai Piala Dunia bawah 20 tahun 2005 dan Sukan Olimpik 2008 mewakili Argentina, dia juga menjadi pemain termuda mewakili negaranya dalam Piala Dunia, pada edisi 2006.

5. Berjaya memadamkan pencapaian sebelum ini dengan musim cemerlang 2008/09 bersama Barcelona dengan memenangi setiap kejohanan yang dimenangi kelab itu dan mencatat 38 gol termasuk sembilan dalam Liga Juara-Juara, satu daripadanya adalah ketika menewaskan Manchester United pada perlawanan akhir.

6. Dia menamatkan musim 2009 dengan jaringan kemenangan pada masa tambahan dalam perlawanan akhir Piala Dunia Kelab Fifa dan menyapu bersih anugerah utama individu iaitu Pemain Terbaik Dunia Fifa dan Ballon d’Or.

7. Messi menjadi pemain Barca termuda menjaringkan 100 gol apabila menjaring�kan gol ke atas Sevilla FC dalam Liga pada 16 Januari 2010, menamatkan musim dengan satu lagi gelaran liga dan 47 gol dalam semua kejohanan, jumlah yang turut membabitkan tiga hatrik dan empat gol ke atas Arsenal dalam perlawanan suku akhir Liga Juara-Juara.

8. Dia melepasi 100 gol liga bersama Barcelona dengan menjaringkan hatrik ketika menewaskan UD Almeria, 8-0 pada 20 November 2010, menyamai rekod kemenangan Azulgana dalam liga di tempat lawan.

9. Dia juga menjadi penjaring terbanyak Barcelona dalam satu musim, meninggalkan Ronaldo yang sebelum ini memegang rekod itu pada musim 1996/97 apabila menjaring�kan gol ke-48 pada musim 2010/11 ketika menentang Shakhtar Donetsk pada perlawanan kedua suku akhir Liga Juara-Juara.

PROFIL
NAMA: Lionel Messi
POSISI: Penyerang
TARIKH LAHIR (UMUR): 24 Jun 1987 (23)
ASAL: Argentina
KELAB: Barcelona (Sepanyol)
TINGGI: 169cm
BERAT: 67kg

1. Dilahirkan di Liverpool, Wayne Rooney menyertai Everton ketika berusia 10 tahun dan tampil dalam kesebelasan utama pada usia 16 tahun, menjadi penjaring termuda Liga Perdana Inggeris apabila menjaringkan gol pertamanya pada minit terakhir ketika menentang Arsenal, Oktober 2002, lima hari sebelum hari lahir ke-17.

2. Dia menjadi pemain termuda pernah menyertai skuad England dengan penampilan sulung pada 12 Februari 2003 ketika menentang Australia, kemudiannya menjaringkan empat gol pada Euro 2004 sebelum meninggalkan padang dengan kecederaan ibu jari kaki, pada perlawanan suku akhir menentang Portugal.

3. Rooney menjadi pemain remaja paling mahal di dunia apabila meninggalkan Everton untuk menyertai United pada 2004 dan menjaringkan hatrik pada penampilan sulung peringkat kumpulan Liga Juara-Juara ketika perlawanan menentang Fenerbahce, 6-2.

4. Dia memenangi trofi pertamanya bersama United dalam Piala Liga 2006 apabila menjaringkan dua gol pada perlawanan akhir, menewaskan Wigan Athletic 4-0 sebelum membantu pasukannya meraih hatrik Liga Perdana Inggeris dan kemenangan perlawanan akhir Liga Juara-Juara menentang Chelsea pada musim 2007/08.

5. Menjaringkan gol kemena�ngan pada perlawanan akhir Piala Dunia Kelab Fifa 2008 tetapi tidak dapat melengkapkan musim 2008/09 dengan kejayaan di Eropah apabila United tewas kepada Barcelona di Rome.

6. Rooney cedera dan dibuang padang pada Piala Dunia 2006 tetapi menjaringkan sembilan gol untuk skuad Fabio Capello ketika kelayakan Piala Dunia 2010. Bagaimanapun dia gagal menghasilkan sebarang jaringan pada pusingan akhir, menyaksikan England tersingkir pada pusingan 16 pasukan terakhir.

7. Dia menjaringkan 25 gol sepanjang musim 2009/10, dan jaringan ke-100nya hadir sewaktu kemenangan 3-1 ke atas Arsenal pada 31 Januari, ketika United tampil naib juara Liga Perdana Inggeris di belakang Chelsea.

8. Rooney mengalami kecederaan buku lali pada perlawanan separuh akhir ketika menentang Bayern Munich, sebalik melakukan jaringan awal, iaitu jaringan terakhir sewaktu permainan bersama kelabnya sehingga 3 Januari 2011 dengan kemenangan 2-1 ke atas West Bromwich Albion.

9. Penyerang itu kemudiannya bersetuju menandatangani kontrak baru bersama United pada Oktober 2010, beberapa hari selepas dia menghantar permohonan untuk berpindah, menjaringkan gol pada perlawanan kedua terakhir liga musim ini di Blackburn (1-1) yang memastikan United meraih kejuaraan liga ke-19.

PROFIL
NAMA: Wayne Rooney
POSISI: Penyerang
TARIKH LAHIR (UMUR): 24 Oktober 1985 (25)
ASAL: England
KELAB: Manchester United (England)
TINGGI: 176cm
BERAT: 86kg

Vidic waspada

MANCHESTER: Nemanja Vidic bimbang Manchester United akan patah hati sekiranya mereka semakin obses menggugat kehebatan Lionel Messi pada saingan penentuan menentang Barcelona di Wembley, awal pagi esok.

Walaupun Vidic kapten pasukan United yang baru saja melakar kejayaan ke-19 liga Inggeris, dia bersikap realistik apabila menyedari pasukannya bakal berdepan juara Sepanyol yang gah dipimpin, Pep Guardiola.

Messi menyumbang gol kemenangan Barcelona ketika menewaskan United, 2-0 pada final Liga Juara-juara 2009 di Rome dan semakin kukuh mendominasi sukan bola sepak. Namun tumpuan Vidic tidak hanya tertumpu kepada pemain licik dari Argentina itu saja.

“Messi adalah pemain yang hebat dan sukar dikawal. Tetapi saya tidak memandang remeh saingan pemain lain seperti Xavi dan Andres Iniesta, mereka juga tidak kurang hebat dan mampu mencorak perlawanan.

“Perlawanan ini bukan hanya mengenai seorang pemain, sebaliknya menghalang Barcelona bergerak sebagai satu pasukan,” kata Vidic.

Vidic masih mengingati Carles Puyol menjulang trofi kemenangan Liga Juara-juara untuk kelab itu dua tahun lalu dan berkata, gambaran itu menjadi pembakar semangat untuknya berdepan lawan di Wembley.

“Jika layak ke final dengan reputasi begitu gah dan kemudian kecundang, pastinya itu tidak menggembirakan,” kata bekas pemain Spartak Moscow itu. - Reuters

Magis Messi menakjubkan

LONDON: Barcelona akan mengesahkan status mereka sebagai pasukan terbaik dalam generasi terkini ketika menentang Manchester United di Wembley, awal pagi esok dalam final yang paling dinanti-nantikan sejak sekian lama.

Kejayaan kedua dalam tempoh tiga tahun - dan ketiga sejak 2006 - akan membuktikan pasukan Pep Guardiola berhak diletakkan sekelompok dengan pasukan legenda seperti Real Madrid pada era 1950-an, Ajax pimpinan Johan Cruyff atau AC Milan yang dipengaruhi pemain Belanda pada 1990-an.

Bagaimanapun berada dalam laluan mereka itu adalah United, juara Inggeris yang baru dimahkotakan dan terdesak untuk membalas dendam terhadap kekecewaan tewas di tangan gergasi Sepanyol itu pada final di Rome, dua tahun lalu.

Pengurus United, Alex Ferguson tidak pernah mengulas dengan terperinci mengenai apa yang berlaku pada 2009 apabila pasukannya tewas 0-2 di tangan Barcelona.

Bagaimanapun, ancaman United untuk menyerlah di Wembley begitu banyak. Mereka perlu hadir berbekalkan strategi yang boleh memadamkan api serangan diketuai Lionel Messi (gambar) dengan beroperasi di depan barisan tengah yang dikemudi dua pemain berbakat, Andres Iniesta dan Xavi Hernandez.

Selain itu, Barcelona juga mempunyai Messi yang berada di prestasi membanggakan di Eropah apabila setakat ini menyumbang 11 gol, sekali gus mencetuskan rasa kagum sesetengah pihak yang mengatakan dia berhak berada di samping pemain terkemuka dunia seperti Pele dan Diego Maradona.

Satu lagi gol awal pagi esok akan menyaksikan Messi menyamai rekod Ruud van Nistelrooy dengan 12 gol dalam tempoh semusim kempen Liga Juara-Juara.

Tapi, sambil menunjukkan sikap kesederhanaannya, pemain bertubuh kecil Argentina itu berkata, dia tidak berminat dengan kejayaan peribadi.

“Gol hanya penting jika kami menang,” kata Messi. “Jika saya tidak menjaringkan gol dan Barcelona memenangi Liga Juara-Juara, tidak penting jika saya menggegar gawang lawan atau tidak. Minat saya adalah kejayaan pasukan.” Ferguson bagaimanapun yakin magis Messi boleh ditangani.

“Kami sudah bermain menentang Barcelona tiga kali dengan Messi turut beraksi,” kata Ferguson. “Tapi, selalunya kami mempunyai jawapan terhadap setiap pemain yang baik. Harap-harap kami memperolehnya esok.” United mungkin teruja dengan hakikat yang pasukan lain pernah membuktikan Barcelona tidak sekebal disangka jika beraksi menentang pasukan yang mempunyai serangan balas pantas.

Arsenal membuktikannya apabila menewaskan kelab Catalan itu, 2-1 pada pusingan kedua Februari lalu, mengejutkan barisan pemain Guardiola dengan dua gol lewat untuk memberikan mereka kelebihan tipis.

Malam yang menjadi kenangan indah di utara London itu bagaimanapun tidak menjadi berikutan kehebatan Messi dan David Villa dalam saingan berikutnya apabila pertahanan Arsenal bertubi kali dibolosi. - AFP

Jeneral padang senjata Barcelona, Red Devils

BARCELONA (4-3-3)

Victor Valdes - Hebat ketika situasi satu lawan satu dengan penyerang lawan dan berupaya menyelamatkan rembatan kencang dan berbahaya, sekalipun penjaga gol Sepanyol itu agak lemah menangani hantaran lintang.


Dani Alves - Sumbangannya ketika menyerang lebih penting berbanding ketika bertahan. Boleh melakukan hantaran lintang berbahaya dan kadang kala menjaringkan gol, tetapi sering kali terpedaya dengan serangan balas yang menyebabkannya terkeluar daripada posisi.


Gerard Pique - Bekas pertahanan Manchester United membaca permainan dengan baik dan cukup yakin dengan penguasaan bola untuk melancarkan serangan Barca dari bawah.

Carles Puyol - Ketrampilan disegani di bahagian tengah pertahanan Barca dengan semangat dan keberanian yang tidak dapat ditandingi membantu banyak kejayaan buat kelab Catalan itu. Namun, United berasakan mereka boleh mengeksploitasi kelembapan pergerakannya.

Eric Abidal - Kembalinya selepas pembedahan untuk mengeluarkan ketumbuhan dalam hatinya menyebabkan pengurus Pep Guardiola (gambar) sukar membuat keputusan ketika beliau memilih pertahanan kiri yang ditugaskan mengawal pemain United, Antonio Valencia.

Sergio Busquets - Bijak mengemudi kawasannya di depan benteng pertahanan dan mempamerkan keazaman tinggi untuk menang tidak kira apa caranya sekalipun yang menyebabkan pemain itu kadang kala melupakan semangat kesukanan.

Xavi - Menentukan rentak permainan Barcelona dengan hantaran tepat dan persepsi menakjubkan. Pemain tengah Sepanyol itu jelas berfikir lebih pantas daripada lawannya ketika dia merencanakan serangan mempesona.

Andres Iniesta - Satu kombinasi kemahiran gerak hati dan sikap berwaspada menjadikan pemain antarabangsa Sepanyol itu gandingan terbaik buat Xavi dan mampu menyebabkan pertahanan lawan terpinga-pinga sekiranya hantaran mereka menjadi seperti dirancang.

Lionel Messi - Tidak diragui pemain terbaik di dunia ketika ini, penyerang sensasi Argentina itu perlu dihalang oleh pemain United sekiranya mereka mahu mengelak persembahan yang menyaksikan dia menjaringkan gol kemenangan pada final Liga Juara-Juara 2009.

David Villa (gambar)- Naluri pemusnah penyerang Sepanyol itu menjadikannya gandingan baik buat Messi dalam musim sulungnya di Nou Camp. Sering mencetus huru-hara dengan larian pantasnya di sayap kiri.

Pedro - Tidak memiliki profil tinggi seperti beberapa rakan sepasukan, tetapi penguasaan bola pemain sayap Sepanyol itu di bahagian sayap kanan menjadikannya pemain utama kelab dan negara dalam musim keduanya.



MANCHESTER UNITED (4-4-2)

Edwin Van der Sar - Beraksi perlawanan terakhirnya sebelum bersara, penjaga gol Belanda berusia 40 tahun itu tetap menjadi penghalang utama penyerang lawan terutama ketangkasannya menyelamatkan percubaan lawan dan kehebatannya menjaga kawasan penaltinya.

Fabio Da Silva - Muncul pemain pilihan Ferguson di pertahanan kanan. Amat bertenaga dan bagi seorang yang berbadan kecil, agak agresif ketika melakukan terjahan sekalipun pemain Brazil itu sekali sekala bersalah kerana meninggalkan posisinya.

Rio Ferdinand - Selepas dibelenggu kecederaan hampir sepanjang musim, pertahanan tengah England itu bertindak cemerlang dalam beberapa minggu kebelakangan. Kepakarannya membaca permainan bermakna dia mampu naik ke atas membantu serangan sekali sekala.

Nemanja Vidic - Bintang Serbia itu mengambil alih sebagai kapten United musim ini dan membalas dengan persembahan penuh inspirasi yang menjadikannya seorang daripada pertahanan terbaik Eropah. Malah, Barca pasti sedar Fernando Torres pernah mengatasinya dengan larian pantas sebelum ini.

Patrice Evra - Memainkan peranan penting mengekang Messi ketika United mengalahkan Barcelona pada separuh akhir Liga Juara-Juara 2008, namun pertahanan kiri Perancis itu kurang berjaya apabila kedua-dua pasukan bertemu sekali lagi pada final setahun kemudian.

Antonio Valencia - Pulih dengan pantas selepas patah kakinya ketika perlawanan pembukaan United di Eropah musim ini menentang Rangers, September lalu dan rentetan persembahan mantap menjadikan posisi sayap kanan miliknya sejak itu.

Michael Carrick - Persembahan layu ketika kalah pada final 2009 di tangan Barcelona menyebabkan dia diketepikan buat beberapa ketika, tetapi visi pemain tengah itu bersama bola dan keupayaannya memecah benteng lawan membolehkan Ferguson mengembalikan tempatnya dalam pasukan.

Ryan Giggs - Sering digunakan di posisi tengah dalam perlawanan penting United ketika pengalaman luas serta keupayaannya menyuntik ketenangan dan kecanggihan dalam permainan mereka.

Park Ji Sung - Sering mempamerkan kekuatan tenaga dikagumi, bintang Korea Selatan itu akan digunakan untuk menghalang kelancaran bahagian tengah Barca. Mampu bermain beberapa posisi secara efektif dan membantu serangan balas.

Wayne Rooney - Jika United mahu memenangi kejuaraan Piala Eropah keempat, mereka memerlukan persembahan dominan daripada pemain paling berbakat mereka. Penyerang England itu kurang menyerlah pada final Liga Juara-Juara terakhirnya, tetapi peranan lebih besar memberikannya lebih banyak ruang merobek benteng lawan.

Javier Hernandez - Tidak diragui belian terbaik musim ini. Penyerang Mexico itu hanya bernilai �7 juta (RM34.8 juta) dan kini menjadi senjata utama United di bahagian serangan selepas bertindak sebagai pemain gantian pada awal musim

Sekat rentak Catalan

MADRID: Berikut adalah soal jawab mengenai bagaimana Manchester United mampu mengatasi Barcelona pada final Liga Juara-Juara di Stadium Wembley, London, awal pagi esok.


SOALAN (S): Apakah yang patut dilakukan United pada awal permainan?


JAWAPAN (J): Penting buat anak buah Alex Ferguson menghalang Barca daripada mendapat rentak di awal permainan seperti yang berjaya dilakukan Real Madrid dalam beberapa perlawanan “Clasico” baru-baru ini. Pemain tengah United dan penyerang perlu berusaha keras menghalang Barca menyusun permainan dari bawah.

Mereka perlu menghalang penjaga gol Victor Valdes daripada menerima bola, memberi tekanan kepada pemain pertahanan dan paling penting tidak membiarkan pemain perancang Xavi serta pemain tengah Sergio Busquets dan Andres Iniesta mengawal permainan.

Memberi tekanan kepada Barca akan turut membantu menyekat pergerakan permainan pertahanan kanan dan kiri, Daniel Alves dan Eric Abidal daripada naik ke atas melancarkan serangan.


S: Apakah yang sepatutnya dilakukan Red Devils apabila mereka mendapat bola?

J: Juara Inggeris itu pasti lebih banyak menghabiskan banyak masa mengejar bola namun apabila mendapat bola, mereka perlu mengumpan bola ke kaki barisan penyerang yang pantas secepat mungkin.

Dengan memiliki Wayne Rooney dan Javier Hernandez, United sememangnya mempunyai pemain yang boleh mengecewakan Barca memandangkan gandingan pertahanan tengah kelab Catalan itu, kapten Carles Puyol dan bekas pemain United, Gerard Pique kurang pantas menyekat kemaraan lawan.

Kelemahan mereka dapat dilihat apabila lawan berjaya meloloskan diri dan mereka tidak berupaya mengawal semula situasi bahaya itu. Bagaimanapun, Valdes adalah penjaga gol yang boleh diharapkan Barca untuk berdepan situasi satu lawan satu.


S: Bagaimana menyekat Lionel Messi?

J: Jawapan mudahnya anda mungkin tidak boleh. Pemain Terbaik Dunia itu terlalu pantas dan memiliki kemahiran tinggi dan cara utama menghalangnya adalah memastikan dia tidak mendapat bola.

Jurulatih Real Madrid, Jose Mourinho menukar posisi pemain pertahanan tengah Pepe menjadi pemain tengah dalam beberapa perlawanan menentang Barca dan langkah itu berkesan menghalang pemain tengah Barca menghantar bola kepada Messi.

Beliau juga memberi arahan supaya mengasak penyerang Argentina itu dan United boleh memberikan tugas itu kepada Michael Carrick atau Park Ji Sung awal pagi esok.

Ia bukannya kebetulan pada separuh akhir pertama di Bernabeu, Messi berjaya menjaringkan dua gol selepas Pepe dibuang padang.


S: Adakah penting mengawal Xavi?

J: Pemain perancang Sepanyol itu bijak meloloskan diri meskipun tidak mempunyai ruang di bahagian tengah, menukar arah keluar daripada kawalan pemain lawan serta tangkas melorongkan bola kepada rakan sepasukan bagi menjaringkan gol.

Bagaimanapun, jurulatih lawan mengarahkan seorang pemain mengawalnya dan dia mengakui tidak menyukai situasi itu pada perlawanan liga musim ini.

Ji Sung mungkin pemain terbaik United melaksanakan tugas itu kerana tenaganya cukup bagi menghalang pergerakan Xavi sekali gus menjadi antara faktor yang boleh menyumbang kepada kemenangan United.


S: Adakah Barca lemah ketika berdepan hantaran bola tinggi?

J: Bahagian pertahanan Barcelona mantap musim ini kerana banyak mengawal bola yang membolehkan mereka mengawal tempo permainan.
Sepakan sudut dan percuma bagaimanapun antara yang mereka gagal tangani dengan baik dan kadang kala mudah tertewas dalam perebutan bola tinggi terutama jika kapten, Puyol tidak bermain. Valdes tidak terlalu selesa berdepan bola hantaran lintang.

Javier Mascherano tidak mempunyai ketinggian cukup jika beraksi di bahagian pertahanan tengah dan Alves juga tidak cukup hebat ketika perebutan bola tinggi.

Apabila United berpeluang melancarkan serangan pantas dan menghantar bola tinggi boleh memerangkap Barcelona seperti yang dapat dilihat pada final Piala Raja Sepanyol apabila Cristiano Ronaldo melompat tinggi mengatasi Adriano untuk menanduk masuk gol kemenangan. - Reuters