LONDON: Barcelona akan mengesahkan status mereka sebagai pasukan terbaik dalam generasi terkini ketika menentang Manchester United di Wembley, awal pagi esok dalam final yang paling dinanti-nantikan sejak sekian lama.
Kejayaan kedua dalam tempoh tiga tahun - dan ketiga sejak 2006 - akan membuktikan pasukan Pep Guardiola berhak diletakkan sekelompok dengan pasukan legenda seperti Real Madrid pada era 1950-an, Ajax pimpinan Johan Cruyff atau AC Milan yang dipengaruhi pemain Belanda pada 1990-an.
Bagaimanapun berada dalam laluan mereka itu adalah United, juara Inggeris yang baru dimahkotakan dan terdesak untuk membalas dendam terhadap kekecewaan tewas di tangan gergasi Sepanyol itu pada final di Rome, dua tahun lalu.
Pengurus United, Alex Ferguson tidak pernah mengulas dengan terperinci mengenai apa yang berlaku pada 2009 apabila pasukannya tewas 0-2 di tangan Barcelona.
Bagaimanapun, ancaman United untuk menyerlah di Wembley begitu banyak. Mereka perlu hadir berbekalkan strategi yang boleh memadamkan api serangan diketuai Lionel Messi (gambar) dengan beroperasi di depan barisan tengah yang dikemudi dua pemain berbakat, Andres Iniesta dan Xavi Hernandez.
Selain itu, Barcelona juga mempunyai Messi yang berada di prestasi membanggakan di Eropah apabila setakat ini menyumbang 11 gol, sekali gus mencetuskan rasa kagum sesetengah pihak yang mengatakan dia berhak berada di samping pemain terkemuka dunia seperti Pele dan Diego Maradona.
Satu lagi gol awal pagi esok akan menyaksikan Messi menyamai rekod Ruud van Nistelrooy dengan 12 gol dalam tempoh semusim kempen Liga Juara-Juara.
Tapi, sambil menunjukkan sikap kesederhanaannya, pemain bertubuh kecil Argentina itu berkata, dia tidak berminat dengan kejayaan peribadi.
“Gol hanya penting jika kami menang,” kata Messi. “Jika saya tidak menjaringkan gol dan Barcelona memenangi Liga Juara-Juara, tidak penting jika saya menggegar gawang lawan atau tidak. Minat saya adalah kejayaan pasukan.” Ferguson bagaimanapun yakin magis Messi boleh ditangani.
“Kami sudah bermain menentang Barcelona tiga kali dengan Messi turut beraksi,” kata Ferguson. “Tapi, selalunya kami mempunyai jawapan terhadap setiap pemain yang baik. Harap-harap kami memperolehnya esok.” United mungkin teruja dengan hakikat yang pasukan lain pernah membuktikan Barcelona tidak sekebal disangka jika beraksi menentang pasukan yang mempunyai serangan balas pantas.
Arsenal membuktikannya apabila menewaskan kelab Catalan itu, 2-1 pada pusingan kedua Februari lalu, mengejutkan barisan pemain Guardiola dengan dua gol lewat untuk memberikan mereka kelebihan tipis.
Malam yang menjadi kenangan indah di utara London itu bagaimanapun tidak menjadi berikutan kehebatan Messi dan David Villa dalam saingan berikutnya apabila pertahanan Arsenal bertubi kali dibolosi. - AFP
No comments:
Post a Comment