Friday, May 27, 2011

Jeneral padang senjata Barcelona, Red Devils

BARCELONA (4-3-3)

Victor Valdes - Hebat ketika situasi satu lawan satu dengan penyerang lawan dan berupaya menyelamatkan rembatan kencang dan berbahaya, sekalipun penjaga gol Sepanyol itu agak lemah menangani hantaran lintang.


Dani Alves - Sumbangannya ketika menyerang lebih penting berbanding ketika bertahan. Boleh melakukan hantaran lintang berbahaya dan kadang kala menjaringkan gol, tetapi sering kali terpedaya dengan serangan balas yang menyebabkannya terkeluar daripada posisi.


Gerard Pique - Bekas pertahanan Manchester United membaca permainan dengan baik dan cukup yakin dengan penguasaan bola untuk melancarkan serangan Barca dari bawah.

Carles Puyol - Ketrampilan disegani di bahagian tengah pertahanan Barca dengan semangat dan keberanian yang tidak dapat ditandingi membantu banyak kejayaan buat kelab Catalan itu. Namun, United berasakan mereka boleh mengeksploitasi kelembapan pergerakannya.

Eric Abidal - Kembalinya selepas pembedahan untuk mengeluarkan ketumbuhan dalam hatinya menyebabkan pengurus Pep Guardiola (gambar) sukar membuat keputusan ketika beliau memilih pertahanan kiri yang ditugaskan mengawal pemain United, Antonio Valencia.

Sergio Busquets - Bijak mengemudi kawasannya di depan benteng pertahanan dan mempamerkan keazaman tinggi untuk menang tidak kira apa caranya sekalipun yang menyebabkan pemain itu kadang kala melupakan semangat kesukanan.

Xavi - Menentukan rentak permainan Barcelona dengan hantaran tepat dan persepsi menakjubkan. Pemain tengah Sepanyol itu jelas berfikir lebih pantas daripada lawannya ketika dia merencanakan serangan mempesona.

Andres Iniesta - Satu kombinasi kemahiran gerak hati dan sikap berwaspada menjadikan pemain antarabangsa Sepanyol itu gandingan terbaik buat Xavi dan mampu menyebabkan pertahanan lawan terpinga-pinga sekiranya hantaran mereka menjadi seperti dirancang.

Lionel Messi - Tidak diragui pemain terbaik di dunia ketika ini, penyerang sensasi Argentina itu perlu dihalang oleh pemain United sekiranya mereka mahu mengelak persembahan yang menyaksikan dia menjaringkan gol kemenangan pada final Liga Juara-Juara 2009.

David Villa (gambar)- Naluri pemusnah penyerang Sepanyol itu menjadikannya gandingan baik buat Messi dalam musim sulungnya di Nou Camp. Sering mencetus huru-hara dengan larian pantasnya di sayap kiri.

Pedro - Tidak memiliki profil tinggi seperti beberapa rakan sepasukan, tetapi penguasaan bola pemain sayap Sepanyol itu di bahagian sayap kanan menjadikannya pemain utama kelab dan negara dalam musim keduanya.



MANCHESTER UNITED (4-4-2)

Edwin Van der Sar - Beraksi perlawanan terakhirnya sebelum bersara, penjaga gol Belanda berusia 40 tahun itu tetap menjadi penghalang utama penyerang lawan terutama ketangkasannya menyelamatkan percubaan lawan dan kehebatannya menjaga kawasan penaltinya.

Fabio Da Silva - Muncul pemain pilihan Ferguson di pertahanan kanan. Amat bertenaga dan bagi seorang yang berbadan kecil, agak agresif ketika melakukan terjahan sekalipun pemain Brazil itu sekali sekala bersalah kerana meninggalkan posisinya.

Rio Ferdinand - Selepas dibelenggu kecederaan hampir sepanjang musim, pertahanan tengah England itu bertindak cemerlang dalam beberapa minggu kebelakangan. Kepakarannya membaca permainan bermakna dia mampu naik ke atas membantu serangan sekali sekala.

Nemanja Vidic - Bintang Serbia itu mengambil alih sebagai kapten United musim ini dan membalas dengan persembahan penuh inspirasi yang menjadikannya seorang daripada pertahanan terbaik Eropah. Malah, Barca pasti sedar Fernando Torres pernah mengatasinya dengan larian pantas sebelum ini.

Patrice Evra - Memainkan peranan penting mengekang Messi ketika United mengalahkan Barcelona pada separuh akhir Liga Juara-Juara 2008, namun pertahanan kiri Perancis itu kurang berjaya apabila kedua-dua pasukan bertemu sekali lagi pada final setahun kemudian.

Antonio Valencia - Pulih dengan pantas selepas patah kakinya ketika perlawanan pembukaan United di Eropah musim ini menentang Rangers, September lalu dan rentetan persembahan mantap menjadikan posisi sayap kanan miliknya sejak itu.

Michael Carrick - Persembahan layu ketika kalah pada final 2009 di tangan Barcelona menyebabkan dia diketepikan buat beberapa ketika, tetapi visi pemain tengah itu bersama bola dan keupayaannya memecah benteng lawan membolehkan Ferguson mengembalikan tempatnya dalam pasukan.

Ryan Giggs - Sering digunakan di posisi tengah dalam perlawanan penting United ketika pengalaman luas serta keupayaannya menyuntik ketenangan dan kecanggihan dalam permainan mereka.

Park Ji Sung - Sering mempamerkan kekuatan tenaga dikagumi, bintang Korea Selatan itu akan digunakan untuk menghalang kelancaran bahagian tengah Barca. Mampu bermain beberapa posisi secara efektif dan membantu serangan balas.

Wayne Rooney - Jika United mahu memenangi kejuaraan Piala Eropah keempat, mereka memerlukan persembahan dominan daripada pemain paling berbakat mereka. Penyerang England itu kurang menyerlah pada final Liga Juara-Juara terakhirnya, tetapi peranan lebih besar memberikannya lebih banyak ruang merobek benteng lawan.

Javier Hernandez - Tidak diragui belian terbaik musim ini. Penyerang Mexico itu hanya bernilai �7 juta (RM34.8 juta) dan kini menjadi senjata utama United di bahagian serangan selepas bertindak sebagai pemain gantian pada awal musim

No comments:

Post a Comment