Friday, May 27, 2011

Sekat rentak Catalan

MADRID: Berikut adalah soal jawab mengenai bagaimana Manchester United mampu mengatasi Barcelona pada final Liga Juara-Juara di Stadium Wembley, London, awal pagi esok.


SOALAN (S): Apakah yang patut dilakukan United pada awal permainan?


JAWAPAN (J): Penting buat anak buah Alex Ferguson menghalang Barca daripada mendapat rentak di awal permainan seperti yang berjaya dilakukan Real Madrid dalam beberapa perlawanan “Clasico” baru-baru ini. Pemain tengah United dan penyerang perlu berusaha keras menghalang Barca menyusun permainan dari bawah.

Mereka perlu menghalang penjaga gol Victor Valdes daripada menerima bola, memberi tekanan kepada pemain pertahanan dan paling penting tidak membiarkan pemain perancang Xavi serta pemain tengah Sergio Busquets dan Andres Iniesta mengawal permainan.

Memberi tekanan kepada Barca akan turut membantu menyekat pergerakan permainan pertahanan kanan dan kiri, Daniel Alves dan Eric Abidal daripada naik ke atas melancarkan serangan.


S: Apakah yang sepatutnya dilakukan Red Devils apabila mereka mendapat bola?

J: Juara Inggeris itu pasti lebih banyak menghabiskan banyak masa mengejar bola namun apabila mendapat bola, mereka perlu mengumpan bola ke kaki barisan penyerang yang pantas secepat mungkin.

Dengan memiliki Wayne Rooney dan Javier Hernandez, United sememangnya mempunyai pemain yang boleh mengecewakan Barca memandangkan gandingan pertahanan tengah kelab Catalan itu, kapten Carles Puyol dan bekas pemain United, Gerard Pique kurang pantas menyekat kemaraan lawan.

Kelemahan mereka dapat dilihat apabila lawan berjaya meloloskan diri dan mereka tidak berupaya mengawal semula situasi bahaya itu. Bagaimanapun, Valdes adalah penjaga gol yang boleh diharapkan Barca untuk berdepan situasi satu lawan satu.


S: Bagaimana menyekat Lionel Messi?

J: Jawapan mudahnya anda mungkin tidak boleh. Pemain Terbaik Dunia itu terlalu pantas dan memiliki kemahiran tinggi dan cara utama menghalangnya adalah memastikan dia tidak mendapat bola.

Jurulatih Real Madrid, Jose Mourinho menukar posisi pemain pertahanan tengah Pepe menjadi pemain tengah dalam beberapa perlawanan menentang Barca dan langkah itu berkesan menghalang pemain tengah Barca menghantar bola kepada Messi.

Beliau juga memberi arahan supaya mengasak penyerang Argentina itu dan United boleh memberikan tugas itu kepada Michael Carrick atau Park Ji Sung awal pagi esok.

Ia bukannya kebetulan pada separuh akhir pertama di Bernabeu, Messi berjaya menjaringkan dua gol selepas Pepe dibuang padang.


S: Adakah penting mengawal Xavi?

J: Pemain perancang Sepanyol itu bijak meloloskan diri meskipun tidak mempunyai ruang di bahagian tengah, menukar arah keluar daripada kawalan pemain lawan serta tangkas melorongkan bola kepada rakan sepasukan bagi menjaringkan gol.

Bagaimanapun, jurulatih lawan mengarahkan seorang pemain mengawalnya dan dia mengakui tidak menyukai situasi itu pada perlawanan liga musim ini.

Ji Sung mungkin pemain terbaik United melaksanakan tugas itu kerana tenaganya cukup bagi menghalang pergerakan Xavi sekali gus menjadi antara faktor yang boleh menyumbang kepada kemenangan United.


S: Adakah Barca lemah ketika berdepan hantaran bola tinggi?

J: Bahagian pertahanan Barcelona mantap musim ini kerana banyak mengawal bola yang membolehkan mereka mengawal tempo permainan.
Sepakan sudut dan percuma bagaimanapun antara yang mereka gagal tangani dengan baik dan kadang kala mudah tertewas dalam perebutan bola tinggi terutama jika kapten, Puyol tidak bermain. Valdes tidak terlalu selesa berdepan bola hantaran lintang.

Javier Mascherano tidak mempunyai ketinggian cukup jika beraksi di bahagian pertahanan tengah dan Alves juga tidak cukup hebat ketika perebutan bola tinggi.

Apabila United berpeluang melancarkan serangan pantas dan menghantar bola tinggi boleh memerangkap Barcelona seperti yang dapat dilihat pada final Piala Raja Sepanyol apabila Cristiano Ronaldo melompat tinggi mengatasi Adriano untuk menanduk masuk gol kemenangan. - Reuters

No comments:

Post a Comment