ALOR SETAR - Penantian sekian lama penduduk Pendang untuk menikmati
kemudahan kesihatan yang lebih baik di tempat sendiri bakal menjadi
kenyataan tidak lama lagi.
Melalui pengumuman yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun
Razak dalam pembentangan Rancangan Malaysia ke-11 (2016-2020), enam
hospital baru akan dibina iaitu Kemaman, Bentong, Pasir Gudang, Maran
dan dua di Kedah iaitu Pendang dan Baling.
Exco Kesihatan, Datuk Dr Leong Yong Kong berkata, khabar gembira itu
memberi makna begitu besar untuk seluruh rakyat negeri ini yang tidak
pernah berputus asa mengharapkan projek berkenaan dapat dilaksanakan.
“Kita berharap projek itu dapat dipercepatkan dalam masa terdekat
kerana mendapat permintaan tinggi dari masyarakat setempat terutama
sekitar Pendang dan daerah berhampiran.
“Pembinaannya akan membantu meningkatkan taraf perkhidmatan kesihatan
lebih baik dan mampu mengurangkan kesesakan serta bebanan tugas di
Hospital Sultanah Bahiyah (HSB),” katanya ketika dihubungi Jumaat lalu.
Menurutnya, hospital baru yang turut dinaikkan status menjadi hospital
pakar minor juga dilengkapi dengan pelbagai kemudahan teknologi serta
doktor pakar.
“Sebagai contoh Hospital Baling dari hospital lama ke hospital pakar
minor. Bangunan baru akan ditambah untuk menampung keperluan pesakit.
“Orang ramai lebih mudah berjumpa doktor pakar yang akan ditempatkan
secara tetap di situ berbanding sekarang. Kebanyakan hospital di kawasan
pedalaman, doktor pakar hanya melakukan lawatan secara berjadual,”
katanya.
Beliau berkata, Hospital Pendang diklasifikasikan sebagai hospital
ke-19 di Kedah termasuk hospital kerajaan dan swasta yang ada di negeri
ini berdasarkan maklumat dari Jabatan Kesihatan Kedah.
Terdapat sembilan hospital kerajaan iaitu di Alor Setar, Sungai Petani,
Kulim, Langkawi, Baling, Sik, Yan, Jitra dan Kuala Nerang.
Sementara pembinaan Hospital Pendang pula adalah merupakan hospital ke-10 bagi kategori hospital kerajaan.
Bagi sektor swasta, terdapat sembilan hospital iaitu masing-masing tiga
di Alor Setar, empat di Sungai Petani dan satu di Kubang Pasu serta
Kulim.
No comments:
Post a Comment