Isu Pembelian Tanah 1MDB
KUALA LUMPUR: Rakyat tidak akan risau sekiranya Tabung
Haji (TH) dapat menjamin pembelian hartanah pada harga RM188.5 juta
untuk tujuan pelaburan di pusat kewangan Tun Razak Exchange (TRX) tidak
mendatangkan sebarang kerugian.
Itu adalah sentimen umum yang
diutarakan apabila Astro AWANI membuat peninjauan untuk mendapatkan
reaksi daripada orang ramai tentang isu kontroversi pelaburan Tabung
Haji dalam pembelian tanah milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Jika pihak TH mengetahui akan pelaburan itu menguntungkan , pada saya
satu yang baiklah tetapi sekiranya pihak TH sendiri kurang pasti saya
rasa sesuatu yang merugikan dan tidak baiklah.
“Itu adalah
amanah daripada orang-orang yang hendak melabur untuk pergi ke tanah
suci Mekkah,” kata Hudori Muhamed, 42 yang telah pergi ke Umrah sebanyak
dua kali.
Terdahulu, laman blog The Benchmark serta beberapa blog lain telah
memuat naik beberapa dokumen yang memaparkan Tabung Haji telah membeli
dua plot tanah di TRX pada harga RM772 juta, menggunakan wang pendeposit
yang disimpan dalam syarikat berkenaan dan bukannya wang kerajaan.
Perkara ini telah mencetuskan kontroversi dengan beberapa pihak
mengetengahkan bahawa langkah Tabung Haji adalah untuk menebus
sebahagian hutang 1MDB yang bernilai RM42 bilion.
Seorang jurutera, Mohd Hasif, 29 berkata beliau kurang percaya dengan
hal-hal yang melibatkan 1MDB setelah banyak persoalan yang masih belum
dapat dirungkaikan lagi dan keputusan TH untuk membuat pelaburan
sedemikian tidak wajar.
Manakala, pengurus operasi Nazira
Zaharudin, 27 yang sudah mendepositkan wang selama hampir enam tahun
berkata, “Saya rasa sebenarnya perkara ini kurang selamat.
“Tapi kalau kita dapat jaminan daripada TH sendiri yang mengatakan kita akan dapat pulangan saya rasa lagi eloklah.”
Dalam pada itu, membidas dakwaan-dakwaan, Timbalan Pengarah Urusan
Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Johan Abdullah berkata
pembelian tanah itu bukanlah satu langkah ‘bailout’ untuk 1MDB.
Keputusan pelaburan itu dibuat selepas melihat kepada unjuran pulangan
sebanyak 27 peratus dalam tempoh tiga tahun, kata Ketua Pegawai
Eksekutif TH itu lagi sepertimana dipetik portalThe New Straits Times
Online.
Semalam TH telah membuat laporan polis berhubung
'pembocoran' dokumen Tabung Haji dalam urusan pembelian tanah di pusat
kewangan TRX.
Laporan yang dibuat oleh Johan di Balai Polis
Dang Wangi itu antara lain menyatakan blog 'The Benchmark' didakwa
memanipulasi fakta berkaitan pelaburan yang dilaksanakan TH untuk
pembelian tanah di TRX.
No comments:
Post a Comment