ALOR SETAR - Pendatang asing tanpa izin (Pati) Bangladesh dan Myanmar
yang mendarat di Langkawi pada malam Ahad mula dipindahkan secara
berperingkat ke Depot Imigresen Belantik, Sik mulai petang ini.
Pengarah Jabatan Imigresen Kedah, Mohamad Yusri Hashim di dalam
kenyataan hari ini berkata, semua warga asing yang ditahan itu akan
disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002)
kerana tidak memiliki dokumen.
Lebih daripada 300 warga asing itu dipindahkan dari Pulau Langkawi ke
Jeti Kuala Kedah menggunakan bot, sebelum meneruskan perjalanan mereka
menggunakan trak ke Belantik lewat petang ini.
Semalam, sejumlah 1, 042 Pati terdiri daripada lelaki, wanita serta
kanak-kanak warga Bangladesh dan Myanmar ditahan selepas bot yang
membawa mereka mendarat di perairan Kuala Teriang dan Kuala Temoyong,
Langkawi pada 10.30 malam Ahad lepas, katanya.
Menurut Mohamad Yusri, tiga bot dikesan mendaratkan warga asing itu di
perairan pulau Langkawi tetapi hanya sebuah daripada bot itu ditahan
manakala dua lagi berjaya meloloskan diri. - Bernama
No comments:
Post a Comment